GAYA HIDUP

Umairah, Amad Jadikan 'Mak Iti' Sumber Inspirasi

24/03/2026 09:38 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kejayaan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menempa nama sebagai penyanyi tersohor menjadi inspirasi merentas generasi, namun bagi dua penyanyi muda meningkat naik ini status sebagai anak saudara memberi kelebihan tersendiri buat mereka. 

Membesar dan menyaksikan sendiri secara dekat perjalanan legasi  kebanggaan negara itu dalam mencipta pelbagai detik kegemilangan, baik Ummi Umairah ataupun adiknya Ahmad Daiyan, sekalipun tidak menjadikan keistimewaan dimiliki mereka sebagai jalan pintas mencipta nama.

Sebaliknya, mereka memilih untuk memanfaatkan kelebihan tersebut sebagai peluang keemasan bagi memperkukuh ilmu, menjadikannya sumber rujukan selain pembakar semangat untuk terus membaiki diri dalam dunia seni yang penuh mencabar itu.

pic-2

Mesra disapa Umairah, pemilik nama Ummi Umairah Saiful Anuar ini berkata mereka sejak  kecil lagi sudah terbiasa menyaksikan disiplin serta komitmen tinggi yang ditunjukkan anak kelahiran Temerloh, Pahang itu, khususnya dalam menghargai peminat selain sentiasa bersikap ‘rendah diri’.

“Saya tengok bagaimana ‘Mak Iti’ melayan peminatnya dan bagaimana beliau membawa diri. Sikap rendah diri serta cara beliau menghargai orang sekeliling sangat memberi inspirasi kepada kami adik-beradik

“Ia membuatkan saya lebih memahami bahawa kejayaan dalam industri bukan sekadar bergantung pada bakat sebaliknya memerlukan disiplin tinggi serta sikap menghormati peminat dan mereka di sekeliling selain menjaga adab serta menghargai setiap peluang diberikan,” katanya kepada Bernama. 

Bakat yang semakin menyerlah ini dan pernah merangkul Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 itu turut mengagumi cara ibu saudaranya mengawal pentas dan berinteraksi dengan penonton setiap kali membuat persembahan.

pic-3

Sentiasa tampil dengan penuh karisma dan berkeyakinan tinggi dalam mana-mana persembahannya selain merangkul lebih 300 anugerah sepanjang tiga dekad sebagai anak seni, Siti Nurhaliza disifatkan adik-beradik ini sebagai contoh terbaik yang boleh dipelajari untuk kekal relevan dalam industri hiburan negara.

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 15 tahun ini sedang menyiapkan single terbaharunya bergenrekan balada yang dijangka dilancarkan pada hujung April ini sebagai sebahagian daripada fasa penjenamaannya semula dalam industri muzik. 

Biarpun singlenya itu berkonsepkan balada, pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur ini berkata dia sebenarnya lebih meminati genre R&B dan berharap dapat meneroka gaya muzik itu dengan lebih serius pada masa akan datang.

“Saya memang minat R&B sejak dulu lagi dan insya-Allah, ada perancangan untuk menghasilkan lagu dengan sentuhan genre itu,” katanya yang mengakui jadual hariannya agak padat kerana perlu mengimbangi antara pelajaran, latihan nyanyian serta aktiviti muzik seperti koir dan vokal  berkumpulan setiap hari.

pic-4

Dalam pada itu, Ahmad Daiyan yang mesra disapa Amad, berkata perjalanan seni ibu saudaranya yang mampu bertahan hingga hari ini dan memiliki peminat merentas generasi, adalah bukti jelas bahawa kesungguhan, disiplin dan kesabaran merupakan resipi penting membina kerjaya. 

Menurutnya, kejayaan dikecapi Biduanita Negara itu banyak mengajarnya sebagai pendatang baharu, tidak ada jalan pintas untuk kekal relevan dalam indusri, selain perlu sentiasa berusaha memperbaik diri dalam pelbagai aspek termasuk mengekalkan hubungan baik dengan peminat.

pic-5

Mengenai perkembangan terbaharunya, Amad, 14, yang baru sahaja tampil dengan lagu raya bersama-sama penyanyi Talitha, merancang untuk merakamkan single solo selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Setakat ini, persembahan biasanya dibuat pada waktu cuti atau selepas sekolah. Jadi, pelajaran masih menjadi keutamaan, selain saya juga aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti sepak takraw, ragbi dan bola sepak,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga sebelah bapanya di Kuantan, Pahang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536945