KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah Kementerian Ekonomi hari ini mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Ibrahim Sani akan berundur daripada jawatannya berkuat kuasa pada 1 Julai 2026.
Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YP Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibrahim atas kepimpinan dan sumbangan beliau dalam menerajui agensi itu pada satu fasa penting transformasi organisasi.
Katanya ini terutamanya dalam memperkukuh peranan YP sebagai institusi pembangunan bakat bumiputera yang lebih strategik dan berorientasikan nilai.
“Kami menghargai segala jasa dan khidmat bakti beliau, dan moga beliau terus maju dalam perjalanan seterusnya.
“Bagi YP, tugas membina bakat bumiputera akan diteruskan dengan komitmen yang sama, malah dengan tumpuan yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akmal Nasrullah berkata peralihan kepimpinan ini tidak akan menjejaskan kesinambungan operasi dan pelaksanaan agenda strategik YP, termasuk sasaran untuk menyokong pembangunan 100,000 bakat bumiputera menjelang 2030.
“Ini termasuk membangunkan 10,000 individu yang mempunyai penyertaan ekonomi dan pemilikan aktif selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya.
Sejak memegang jawatan tersebut pada November 2023, Ibrahim telah menerajui peralihan YP daripada penciptaan kekayaan kepada penciptaan nilai, dengan matlamat melahirkan pemimpin profesional, perniagaan dan komuniti yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, YP telah melancarkan Talent Bank pada 2024 sebagai platform strategik untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat bumiputera berpotensi tinggi.
Sementara itu, Ibrahim menyatakan bahawa ia merupakan satu penghormatan untuk mengetuai YP semasa tempoh transformasi yang penting.
“Dalam usaha mentransformasikan YP agar terus relevan dalam memenuhi keperluan bakat negara masa kini dan masa depan, saya berbangga dengan segala kemajuan yang telah dicapai bersama warga YP,” katanya.
Dalam pada itu, YP memaklumkan akan memastikan kesinambungan operasi dan inisiatif strategik diteruskan seperti biasa.
“Proses mengenal pasti kepimpinan baharu telah dijalankan dan pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai,” menurutnya.
-- BERNAMA