DUNIA

Bangladesh Tegaskan Komitmen Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia

22/06/2026 02:50 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Bangladesh menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, termasuk menerusi penglibatan yang lebih erat dalam pembangunan serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman berkata kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan penglibatan menerusi mekanisme sedia ada, termasuk mesyuarat suruhanjaya bersama dan rundingan dua hala antara menteri luar mereka.

“Hari ini, kami mengesahkan komitmen kami untuk mengukuhkan hubungan Bangladesh-Malaysia.

“Kami bersetuju untuk meningkatkan penglibatan menerusi mekanisme sedia ada, termasuk mesyuarat suruhanjaya bersama dan perundingan dua hala antara menteri luar kami,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini Isnin.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan, serta dua Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang Penyelidikan Antikeganasan dan Penggalakan dan Pemudah Cara Pelaburan.

Tarique berkata beliau dan Anwar turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu global, termasuk situasi di Asia Barat.

“Kami mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain.

“Saya juga berterima kasih kepada Malaysia kerana menyokong pencalonan Bangladesh untuk jawatan presiden sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB.

"Kami berharap dapat meneruskan kerjasama erat kami dalam isu kepentingan bersama," katanya.

Tarique, yang tiba di sini pada Ahad, dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas jemputan Anwar.

Ia lawatan rasmi pertama beliau ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari 2026.

Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (US$2.84 bilion), dengan eksport Malaysia bernilai RM10.08 bilion (US$2.35 bilion), dipacu terutamanya oleh produk petroleum.

Import dari Bangladesh berjumlah RM2.10 bilion (US$0.50 bilion), terutamanya tekstil, pakaian dan kasut.

Bangladesh ialah rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global pada 2025 dan rakan dagangan kedua terbesarnya, destinasi eksport dan sumber import di rantau Asia Selatan, selepas India.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571457