SUNGAI PETANI, 25 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta semasa melintas jalan di jalan Kota Kuala Muda dekat sini, malam tadi.
Muhammad Ammar Zamri yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba sebelum sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang melalui jalan tersebut terlanggar mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku pada 9.23 malam dan polis menerima laporan berhubung kejadian pada 9.45 malam tadi.
"Kereta dipandu seorang lelaki itu dikatakan dalam perjalanan dari Kota Kuala Muda menuju Pulau Sayak sebelum mangsa tiba-tiba melintas di hadapan kereta yang sedang bergerak.
"Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar kanak-kanak tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan," katanya.
-- BERNAMA