JENAYAH & MAHKAMAH

Bomba Pahang Rekod 87 Kes Kebakaran Terbuka Dalam Seminggu

25/03/2026 01:39 PM

KUANTAN, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang merekodkan 87 kes kebakaran terbuka dalam tempoh tujuh hari bermula dari 18 Mac. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata kemuncak kes berlaku pada 22 Mac dan semalam dengan 16 kes direkodkan sehari. 

Beliau berkata dari 18 hingga 20 Mac sebanyak 30 kes direkodkan, dari 21 hingga 22 Mac (27 kes) dan dari 23 hingga 24 Mac (30 kes). 

“Secara keseluruhan kita menerima 87 kes kebakaran terbuka dalam tempoh seminggu, iaitu secara purata 12 kes sehari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mohd Salahuddin berkata kebanyakan kebakaran melibatkan kawasan belukar dan lalang termasuk di lokasi perumahan, lebuh raya, tanah perkuburan selain kawasan perindustrian dengan Kuantan mencatatkan lebih kekerapan kebakaran berbanding daerah lain. 

Beliau berkata keanggotaan bagi menjalankan operasi masih mencukupi dengan bantuan akan digerakkan dari daerah lain sekiranya perlu. 

Dalam pada itu, Mohd Salahuddin menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka kerana cuaca panas ketika ini menyebabkan api mudah merebak. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537423