AM

Enam Kematian Di Terengganu Sepanjang Ops Selamat 26/2026

25/03/2026 06:26 PM

KUALA NERUS, 25 Mac (Bernama) -- Sebanyak enam kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di Terengganu sepanjang Op Selamat 26/2026 sempena Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Suffian Sulaiman berkata jumlah itu meningkat sebanyak lima kes, berbanding hanya satu kematian pada Op Selamat 24/2025.

Beliau berkata kesemua kes kematian berlaku di jalan negeri yang berpunca daripada faktor kecuaian manusia, iaitu memandu laju dan sindrom tertidur seketika semasa memandu (microsleep).

"Lebih merisaukan ialah semua kes kemalangan maut juga membabitkan penduduk tempatan, bukannya perantau yang pulang dari jauh ke kampung berhari raya.

"Melihat kepada trend ini, kita akan memperkukuh dan meningkatkan program advokasi dalam kalangan masyarakat tempatan pula pada tahun hadapan," katanya pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Suffian berkata sebanyak 84 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh enam hari pelaksanaan Op Selamat 26/2026, berbanding 72 kes pada Op Selamat 24/2025.

Selain itu beliau berkata jumlah saman yang dikeluarkan juga meningkat  kepada 7,059 keping pada Op Selamat 26/2026, berbanding 3,557 keping sepanjang tempoh Op Selamat 24/2025.

"Peningkatan jumlah saman hampir 100 peratus ini agak merisaukan kerana menggambarkan ketidakpatuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang yang boleh menyebabkan kemalangan,"  katanya.

Sementara itu Suffian berkata sebanyak 585 pendaftaran balik kampung telah diterima melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), talian MERS 999 dan borang pemakluman balai pada tahun ini.

"Alhamdulillah tiada laporan mengenai kejadian pecah rumah atau jenayah harta benda direkodkan sepanjang Op Selamat 26/2026.

"Pendaftaran bukan hanya boleh dibuat pada musim perayaan, tetapi sepanjang tahun untuk memastikan kediaman yang ditinggalkan selamat dalam pemantauan pihak polis," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537551