JENAYAH & MAHKAMAH

Tular Video Disyaki Curi Kabel Di Ipoh, Polis Minta Orang Ramai Salur Maklumat

28/03/2026 09:46 PM

IPOH, 28 Mac (Bernama) -- Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes disyaki curi kabel di Jalan Pakatan Jaya, Taman Pakatan Jaya di sini yang tular di laman sosial, tampil bagi membantu siasatan. 

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya mengesan video tular itu di aplikasi TikTok yang dimuat naik oleh akaun Utusan Melayu Plus (@utusanmelayuplusofficial) kira-kira 11 pagi tadi. 

Beliau berkata video tersebut memaparkan kejadian disyaki kecurian kabel di sebuah kawasan perumahan dengan semakan mendapati ia berlaku di Jalan Pakatan Jaya, Taman Pakatan Jaya. 

“Suspek dipercayai menggunakan sebuah pacuan empat roda bersama sebuah kenderaan jenis MPV (pelbagai guna) untuk menarik kabel di lokasi kejadian. 

“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2538573