SUKAN

Keputusan CAS Buka Peluang Pemain Tempatan Sarung Jersi Harimau Malaya - Indra Putra

28/03/2026 10:33 AM

KAMPAR, 28 Mac (Bernama) -- Hukuman yang dikenakan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes melibatkan tujuh pemain kebangsaan bukan pengakhiran kepada bola sepak tanah air, kata bekas tonggak Harimau Malaya Indra Putra Mahayuddin.

Beliau berkata apa yang berlaku sebaliknya membuka peluang kepada pemain tempatan untuk menyinar di pentas antarabangsa sekali gus membuktikan kepada peminat bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan bakat.

“Setiap pemain perlu melihat perkara ini sebagai peluang untuk mereka meningkat naik dan seterusnya berbakti kepada skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasukan Bola Sepak Bintang Juara FC (BJFC) di sini malam tadi.

Indra Putra berkata kehadiran pemain warisan dan naturalisasi juga seharusnya dijadikan sebagai pemangkin untuk mereka meningkatkan prestasi bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Kes membabitkan tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel mendapat perhatian ramai selepas ia dibawa ke CAS susulan tindakan disiplin yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci bulan ini, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan tetapi kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga dikekalkan.

FIFA kemudian turut membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan lawan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2538359