DUNIA

Pertemuan Dengan Iran Dijangka Minggu Ini - Utusan Khas AS

28/03/2026 11:15 AM

WASHINGTON, 28 Mac (Bernama-Anadolu) -- Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) Steve Witkoff berkata pada Jumaat pertemuan dengan Iran dijangka berlaku "minggu ini" dan Presiden Donald Trump mahukan "perjanjian damai" ketika serangan AS-Israel berterusan ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kami berpendapat akan ada pertemuan minggu ini. Kami pastinya berharap untuk itu. Kapal sedang melalui (Selat Hormuz). Itu petanda yang sangat, sangat baik, dan saya fikir presiden mahu perjanjian damai," kata Witkoff dalam ucapannya pada forum pelaburan di Miami.

Secara berasingan, Trump memberitahu pemberita sebelum lawatannya ke Miami pada Jumaat bahawa Iran mahukan rundingan.

Setiausaha Negara Marco Rubio berkata Washington menjangkakan untuk menamatkan kempen ketenteraannya terhadap Iran "dalam masa beberapa minggu, bukan berbulan," dan AS boleh mencapai objektifnya tanpa mengerahkan tentera di darat.

Ketegangan di Asia Barat kian memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb.

 

Tehran bertindak balas dengan gelombang serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan  Israel selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Konflik mengakibatkan korban dan kerosakan infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.

Sekurang-kurangnya 13 anggota perkhidmatan AS terbunuh sejak perang bermula yang menaikkan harga tenaga dan menjejaskan penghantaran melalui Selat Hormuz.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2538389