AM

Kejuruteraan Petroleum UTP Tersenarai 10 Terbaik Dunia Dalam QS World University Rankings Mengikut Subjek 2026

28/03/2026 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mencatat pencapaian penting dalam QS World University Rankings mengikut Subjek 2026, dengan bidang Kejuruteraan Petroleum meningkat ke kedudukan kesembilan di peringkat global, sekali gus menempatkannya dalam 10 terbaik dunia dan tiga terbaik di Asia.

Menurut kenyataan UTP hari ini, universiti berkenaan kini menjadi universiti terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara bagi bidang terbabit, melonjak daripada kedudukan ke-16 tahun lepas sekali gus mencatat ranking subjek tertinggi pernah dicapai oleh negara selain diiktiraf sebagai universiti yang menunjukkan peningkatan paling ketara di rantau Asia Pasifik serta menduduki tempat kedua di peringkat global bagi kategori subjek khusus.

“Pencapaian berkenaan menonjolkan kepimpinan global berterusan UTP dalam bidang terasnya, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai institusi terkemuka dalam pendidikan tenaga dan kejuruteraan,” menurut kenyataan itu.

Bagi bidang Kejuruteraan dan Teknologi, UTP melonjak ke kedudukan ke-146 di peringkat global daripada ke-184 pada 2025, mencerminkan prestasi yang berterusan dari segi kualiti akademik, hasil penyelidikan serta kaitan dengan industri.

Kejuruteraan Kimia kini tersenarai dalam 100 teratas di tangga ke-87, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik meningkat kedudukan ke-131, Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan melonjak ke dalam julat 151-200, manakala Sains Komputer dan Sistem Maklumat meningkat dalam julat 201-250.

Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan mengekalkan kedudukan dalam julat 51-100 manakala Kejuruteraan Awam dan Struktur kekal 101-150, mencerminkan pengukuhan berterusan dalam bidang yang telah mantap.

Gabungan lonjakan momentum dan prestasi yang berterusan ini mencerminkan keupayaan akademik UTP yang semakin kukuh merangkumi bidang terasnya.

Dalam bidang Sains Semula Jadi, UTP meningkat ke kedudukan ke-341 berbanding ke-362 sebelum ini, Sains Bahan berada dalam julat 201-250 manakala Kimia meningkat ke julat 251-300. Fizik kekal kedudukan dalam julat 351-400.

Universiti berkenaan turut mencatat pencapaian baharu dalam bidang Sains Sosial dan Pengurusan, kali pertama tersenarai dalam julat 501-550 manakala Pengajian Perniagaan dan Pengurusan meningkat ke 451-500.

Pencapaian itu juga memperlihatkan usaha kolektif warga akademik dan staf UTP, dengan dedikasi mereka dalam mendidik pelajar terus membentuk bakat yang bersedia untuk masa hadapan, di samping kolaborasi kukuh universiti dengan rakan industri serta akademik.

Presiden UTP Mohamed Firouz Asnan berkata pencapaian itu memperlihatkan fokus strategik universiti dalam memperkukuh kepakaran dalam bidang yang selari dengan keperluan industri dan keutamaan negara.

“Seiring usaha untuk mengukuhkan kedudukan kami di peringkat global, keutamaan kami kekal jelas iaitu membangunkan keupayaan yang memberikan impak nyata menerusi pendidikan berkualiti, penyelidikan yang bermakna serta pembangunan bakat yang memanfaatkan industri, masyarakat dan negara,” katanya.

QS World University Rankings by Subject menilai universiti berdasarkan reputasi akademik dan majikan, impak penyelidikan serta kerjasama antarabangsa.

Prestasi UTP dalam penarafan 2026 menyerlahkan kehadiran universiti itu di peringkat global sebagai sebuah universiti berteraskan teknologi yang komited dalam memacu penyelesaian terhadap cabaran dunia nyata serta menyokong pembangunan mampan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2538400