KOTA TINGGI, 28 Mac (Bernama) -- Permohonan beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 17 April ini.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perbincangan itu akan dibuat berteraskan semangat “Rumah Bangsa”, namun keputusan permohonan tidak semestinya diumumkan pada mesyuarat berkenaan.
“Saya akan bawa perkara ini ke dalam Mesyuarat MT atas semangat Rumah Bangsa, semangat Aidilfitri dan Ramadan. Kenyataan Presiden parti juga melihat perkara ini secara positif dan kita harap ada keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek JanaVeteran di Telok Sengat di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya masih mengumpul permohonan dan tiada tempoh ditetapkan bagi bekas pemimpin atau ahli yang ingin menyertai semula UMNO.
Antara yang terlibat ialah Hishammuddin, Shahril Sufian Hamdan, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.
Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Khairy pula dipecat atas pelanggaran disiplin semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan penggantungan dan pemecatan itu dibuat oleh MT UMNO pada 27 Jan 2023.
-- BERNAMA