Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 30 Mac (Bernama) -- SME Corp Malaysia akan mempergiat usaha memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan memainkan peranan signifikan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selaras agenda memperkukuh daya tahan dan sumbangan sektor itu kepada ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata kerjasama strategik bersama Iskandar Regional Development Authority (IRDA) akan memberi tumpuan kepada penyertaan aktif PMKS Johor dalam rantaian nilai pelaburan, termasuk sebagai pembekal dan rakan niaga kepada pelabur domestik serta antarabangsa.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan limpahan ekonomi daripada pembangunan JS-SEZ dapat dinikmati secara inklusif oleh PMKS tempatan, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk berkembang dan bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata SME Corp sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA) di bawah Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) terus memperkukuh penyelarasan dasar dan program pembangunan PMKS merentas pelbagai kementerian dan agensi bagi mengoptimumkan impak ekonomi.
Dalam konteks makro, katanya Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan kepada agenda penskalaan PMKS sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, dengan fokus kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan pengembangan pasaran.
“Kerajaan menyasarkan peningkatan peratusan firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030, yang dijangka memperkukuh struktur ekonomi negara melalui pengembangan perusahaan berimpak tinggi,” katanya.
Katanya strategi itu juga dijangka meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 39.5 peratus pada 2024 kepada 50 peratus, sekali gus memperkukuh asas ekonomi domestik.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan program berteraskan pertumbuhan tinggi dan keterangkuman di bawah RMK13 akan memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan PMKS dalam mendepani cabaran global, termasuk pendigitalan, akses pembiayaan dan integrasi ke dalam rantaian bekalan serantau.
“Inisiatif seperti JS-SEZ merupakan pemangkin penting untuk mempercepat transformasi PMKS ke arah perusahaan berskala lebih besar dan berdaya saing tinggi,” katanya.
-- BERNAMA