EKONOMI

Johor Ambil Peluang Sebagai Destinasi Pelaburan Stabil Di Tengah Konflik Asia Barat -- Exco

30/03/2026 04:14 PM

JOHOR BAHRU, 30 Mac (Bernama) -- Johor perlu mengambil peluang memposisikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan yang stabil di tengah ketidaktentuan global susulan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata polisi dan keadaan politik yang stabil selain jauh daripada kawasan peperangan serta bencana alam, mampu menjadi tarikan dan kekuatan negeri itu.

“Daripada sudut tersebut, kita boleh tawarkan kepada syarikat multinasional (bahawa) di Johor, ada satu tempat yang sesuai untuk syarikat asing (melabur) daripada sektor pusat data, logistik, pembuatan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Paragon Globe Berhad dan GSP Automotive Group, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konflik di Asia Barat termasuk kesan terhadap pelaburan di Johor.

 Johor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM110 bilion pada 2025, menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah negara.

Lee berkata salah satu usaha tersebut adalah dengan mengadakan lawatan rasmi ke China selama empat hari yang diketuai Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Rabu ini dengan memberikan tumpuan kepada usaha mempromosi negeri itu sebagai destinasi pelaburan strategik.

Kerajaan negeri dijangka akan mengadakan kerjasama dengan lima institusi perbankan serta mengadakan sesi penerangan bersama 170 syarikat mengenai peluang pelaburan di Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata konflik di Asia Barat menyebabkan cabaran peningkatan kos bukan sahaja ke atas industri minyak atau bahan api, tetapi juga simen, batu dan pasir sekali gus memberikan kesan kepada sektor pembinaan serta logistik.

Kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan semasa dan perbincangan mengenai impak daripada konflik itu terhadap sektor ekonomi dan pelaburan akan turut diadakan bersama Onn Hafiz pada petang ini.

Menurutnya pelaksanaan langkah jangka pendek termasuk memperkasa Bantuan Kasih Johor dan Jualan Kasih Johor selain merangka perancangan jangka panjang perlu diambil perhatian bagi membantu rakyat dalam menghadapi situasi mencabar ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perbincangan khas mengenai pelan jangka panjang perlu dilaksanakan bersama Kerajaan Persekutuan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2538956