JENAYAH & MAHKAMAH

Status Keputusan Representasi Gugur Tuduhan Wanita Serang Sultan Nazrin Pada 14 Mei

01/04/2026 04:51 PM

IPOH, 1 April (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 14 Mei depan untuk mengetahui status keputusan representasi seorang wanita untuk menggugurkan pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun lepas.

Majistret Norizan Riduan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Zariss Sofea Zainudin memaklumkan representasi dikemukakan Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada 6 Feb lepas masih belum diputuskan.

Beliau turut memohon tarikh baharu untuk memaklumkan keputusan representasi berkenaan. 

Nurhaswani Afni yang diwakili peguam Sandeep Singh Jit didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin dengan cuba menyerang baginda di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539809