JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tetapkan 16 Julai Untuk Rayuan PKR Berhubung Pengurangan Bayaran Bon Zuraida

10/04/2026 04:40 PM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Julai depan untuk mendengar rayuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan bayaran bon dikenakan ke atas bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 dalam kes pelanggaran bon parti.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Syahrul Md Sain pada Rabu.

Peguam PKR, Navpreet Singh mengesahkan tarikh pendengaran tersebut ketika dihubungi Bernama.

Beliau memaklumkan semua pihak diarahkan untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 1 Julai dan pengurusan kes akhir dijadualkan pada 2 Julai bagi mengemas kini pematuhan sebelum sesi pendengaran.

Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Zuraida untuk menyemak semula keputusan sebelum ini yang membenarkan PKR merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perkara tersebut.

PKR memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan tersebut pada 24 Jun tahun lepas.

Pada 11 Dis 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Zuraida telah melanggar bon tersebut, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Sebelum ini, pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan memihak kepada PKR dan memerintahkan Zuraida, yang merupakan bekas Naib Presiden PKR, membayar RM10 juta selaras dengan terma bon berkenaan.

 Hakim yang mendengar kes berkenaan, Datuk Akhtar Tahir memutuskan bahawa bon tersebut adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Saman itu difailkan pada 2020 oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti, dengan mendakwa Zuraida telah melanggar syarat bon yang ditandatanganinya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Di bawah bon tersebut, antara lain, Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya beliau meletak jawatan dalam parti atau menjadi wakil rakyat Bebas selepas dipilih atas tiket parti berkenaan.

Dalam pembelaannya, Zuraida mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon tersebut bagi membolehkannya bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum di bawah tiket PKR.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543386