SINTOK, 1 April (Bernama) -- Kedah komited memperkasakan pembangunan sukan tenis dalam kalangan remaja sebagai usaha melahirkan lebih ramai bakat berpotensi ke peringkat lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah Muhammad Radhi Mat Din berkata penganjuran kejohanan sukan itu merupakan platform terbaik dalam mencungkil dan menggilap bakat baharu di negeri itu.
Beliau berkata selepas hampir dua dekad tidak menganjurkan kejohanan seumpamanya, Kedah kini bertekad menghidupkan semula ekosistem pembangunan sukan tenis dengan penganjuran lebih konsisten di pelbagai peringkat.
“Sudah hampir 20 tahun Kedah tidak menganjurkan kejohanan seperti ini walaupun kita mempunyai kemudahan lengkap. Kita mahu lebih banyak kejohanan dianjurkan secara konsisten, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah hingga ke peringkat negeri, daerah dan komuniti.
“Tanpa pendedahan melalui pertandingan, bakat muda sukar diketengahkan. Kita tidak mahu potensi ini hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya perlu digilap di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Lawn Tennis Association of Malaysia (LTAM) Junior Tour 2026 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
Sebanyak 250 pemain remaja menyertai kejohanan kebangsaan yang berlangsung selama lima hari bermula 31 Mac itu, melibatkan kategori bawah 12, bawah 14 dan bawah 16 tahun lelaki dan perempuan.
Muhammad Radhi berkata Kedah ketika ini masih belum mempunyai pemain tenis berprestasi tinggi untuk bersaing di pentas utama seperti temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Keadaan ini menunjukkan tahap penglibatan kita masih di bawah paras yang diharapkan. Namun, kejohanan seperti ini mampu menyuntik semangat baharu dan menjadi titik permulaan untuk kita melahirkan pemain yang layak serta mampu mencipta kejayaan di SUKMA akan datang,” katanya.
Selain pembangunan bakat, beliau berkata kejohanan itu juga berpotensi merancakkan pelancongan sukan di kawasan Sintok dan Changlun, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
Sementara itu, Presiden LTAM Mirzan Tun Mahathir berkata kejohanan tersebut turut menawarkan mata ranking kepada peserta sebagai persediaan ke kejohanan kebangsaan pada Jun dan Disember depan.
Menurutnya, platform berkenaan juga membuka peluang untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
-- BERNAMA