JENAYAH & MAHKAMAH

Bengkel, Sebuah Kereta Dan 10 Motosikal Musnah Dalam Kebakaran

01/04/2026 06:23 PM

GEORGE TOWN, 1 April (Bernama) -- Sebuah bengkel di Kompleks Makanan Jalan Dato Keramat, di sini musnah dalam kebakaran hari ini, yang turut melibatkan sebuah kereta dan 10 motosikal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata dalam kejadian kira-kira 2.51 petang itu, struktur bengkel sementara berkeluasan 74.32 meter persegi terbakar dengan cepat sebelum berjaya dikawal.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada 2.51 petang sebelum sepasukan bomba terus ke lokasi kebakaran.

"Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback musnah hampir 90 peratus, manakala 10 motosikal turut terbakar antara 10 hingga 90 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kebakaran itu berjaya dikawal pada 3 petang daripada merebak di kawasan tersebut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.12 petang selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan.

John Sagun berkata tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu, sementara punca kebakaran dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539873