JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Minta Bantuan Kesan Wanita Hilang

05/04/2026 10:31 PM

SEREMBAN, 5 April (Bernama) -- Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi ahli keluarganya sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Norhisham Mustapar berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Norizan Yahya, 50, pada 8.46 pagi tadi oleh kakaknya, dengan kali terakhir dilihat pada 7.30 pagi semalam.

“Kali terakhir dia berhubung dengan keluarganya pada 4.44 petang semalam, mengatakan berada di Seremban untuk mencari kerja sebelum kemudiannya tidak lagi dapat dihubungi.

“Wanita itu beralamat terakhir di Kampung Indah, Bahau dengan berketinggian 150 sentimeter dan berat 70 kilogram, kali terakhir dilihat memakai blaus ungu, seluar hitam dan tudung hijau muda serta membawa beg coklat ‘Eco Shop’,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemukan wanita tersebut boleh menghubungi Balai Polis Bahau menerusi talian 06-454 1222 atau Ketua Balai Polis Bahau Insp Annas Fikri Othman menerusi talian 013-621 9196.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541334