AM

PERTAMA Perkukuh Kepimpinan Bagi Sesi 2026-2028

06/04/2026 12:56 AM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) memperkukuh barisan kepimpinannya bagi sesi 2026-2028 susulan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-54 yang berlangsung hari ini.

Mesyuarat itu, yang diadakan dari 11 pagi hingga 1.30 tengah hari, menyaksikan kesinambungan dan pemerkasaan struktur kepimpinan persatuan termasuk pelantikan semula serta pengisian jawatan utama.

Pengarang Berita Kanan Berita Harian (BH) Datuk Sariha Mohd Ali kekal sebagai Presiden manakala Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nor Hasliza Abdullah, yang sebelum ini memegang jawatan Setiausaha, dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Pegawai Berita di Bahagian Perancangan Strategik Bernama Wan Nor Azura Mior Abdul Aziz dipilih sebagai Setiausaha, dibantu oleh Penolong Pengarang BH Hafizah Iszahanid sebagai Penolong Setiausaha.

Jawatan Bendahari disandang oleh Ketua Biro Bernama Putrajaya Nurul Hanis Izmir, dengan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi M. Saraswathi sebagai Penolong Bendahari.

Yang turut hadir pada majlis itu Penasihat PERTAMA Datuk Jamelah A. Bakar dan Datin Rohana Mustaffa.  

Turut sama hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Nasriah Darus, Minarni Mat Saad, Norhafzan Jaafar, Mahani Ishak, Rafe’aton Md Ali dan Farhanah Azmi manakala Rosemarie Khoo Mohd Sani serta Adlina Datuk Abdul Wahab dilantik sebagai Pemeriksa Kira-Kira.

Sariha dalam ucapannya berkata tahun lepas merupakan tempoh yang cukup aktif dan membanggakan buat PERTAMA, dengan pelbagai program berjaya dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan sesama ahli serta meningkatkan keterlibatan wartawan wanita dalam landskap media dan masyarakat.

“Antara kejayaan yang ingin saya kongsikan ialah penganjuran program pendakian Gunung Kinabalu yang mencatat sejarah sebagai kumpulan wartawan wanita paling ramai mendaki gunung itu pada September 2025... bagi saya, program ini satu pencapaian luar biasa yang membuktikan ketahanan fizikal dan mental ahli PERTAMA,” katanya.

Beliau berkata pada Julai 2025, PERTAMA turut menganjurkan Program Glamping selama dua hari satu malam di Putrajaya yang bukan sahaja memberi ruang santai malah mengeratkan ukhuwah dalam suasana lebih mesra.

Sariha berkata program itu turut memberi peluang kepada ahli menimba ilmu berkaitan pengurusan stres yang disampaikan oleh pegawai Yayasan Kebajikan Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Di peringkat antarabangsa pula, PERTAMA turut mencatat pencapaian bermakna melalui lawatan ke Padang, Indonesia untuk bertemu Persatuan Wartawan Wanita Indonesia sekali gus membuka ruang kerjasama dan pertukaran idea.

Beliau berkata PERTAMA juga menganjurkan AGM ke-53 dan Majlis Hari Raya 2025 selain aktif menyertai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 sebagai platform penting dalam industri media negara.

“Paling terkini, kita berjaya mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-55 PERTAMA yang dihadiri Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad selain meraikan lebih 10 ahli veteran berusia lebih 70 tahun dengan pemberian cenderamata khas sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Sejurus selepas AGM, majlis sambutan Aidilfitri PERTAMA diadakan dari 2 hingga 4 petang dalam suasana mesra dan penuh silaturahim, yang dihadiri hampir 60 ahli.

PERTAMA, yang ditubuhkan pada 1971 oleh Tokoh Budayawan Melayu Azah Aziz atau Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff, ialah persatuan media wanita tertua di Malaysia.

Fungsi persatuan itu ialah memperjuangkan kebajikan ahlinya termasuk bantuan kepada mereka yang uzur atau menerima rawatan di hospital dan keluarga ahli yang meninggal dunia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541327