AM

Salur Maklumat Awal Bantu Perkukuh Penguatkuasaan Imigresen - KP

03/04/2026 07:15 PM

PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat awal berkaitan kehadiran warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen mampu meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta memastikan tindakan lebih tersusun dan berimpak.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya mengambil maklum berhubung kandungan video yang tular berkaitan dakwaan kebanjiran warga asing di kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah baru-baru ini.

Beliau berkata maklumat awal yang tepat dan berterusan amat penting bagi membolehkan JIM menjalankan risikan secara menyeluruh serta merancang tindakan penguatkuasaan yang lebih tersusun dan berimpak.

"Pendekatan ini bukan sahaja membantu memastikan setiap operasi dilaksanakan secara terancang, malah turut meningkatkan keberkesanan serbuan dengan hasil yang lebih optimum, tepat sasaran dan berintegriti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata JIM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dan setiap maklumat yang diterima akan diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Beliau berkata JIM kekal komited dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen terus diperkukuh demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara.

Zakaria berkata JIM amat menghargai peranan masyarakat sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan imigresen negara.

"Maklumat yang disalurkan secara terus kepada jabatan akan mempercepatkan proses pengesahan, mengurangkan ruang kebocoran maklumat serta memastikan tindakan dapat diambil dengan segera dan berkesan," katanya.

Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi JIM di talian aduan pendatang tanpa izin di 03-8880 1374, e-mel aduanpati_hq@imi.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://imi.spab.gov.my⁠.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540680