SUKAN

Piala Malaysia: JDT Gah Belasah KL City 4-0

03/04/2026 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Skuad Harimau Selatan hanya mengambil masa lima minit untuk menjaringkan gol pertama menerusi sentuhan penyerang sensasi Bergson Gustavo Silveira Da Silva.

JDT terus menguasai permainan dengan melancarkan corak serangan tersusun dan hampir menambah gol kedua kira-kira 15 minit kemudian namun percubaan Bergson hasil gerakan Corbin Ong sedikit tersasar.

Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Ager Aketxe Barrutia tenang melepaskan rembatan kaki kiri untuk menggandakan kelebihan pasukan pelawat pada minit ke-31.

Kuala Lumpur City FC cuba bangkit menjelang penghujung babak pertama menerusi kapten Paulo Josue namun percubaannya gagal menepati sasaran, sekali gus menyaksikan JDT selesa mendahului 2-0 ketika rehat.

Memasuki babak kedua, JDT terus mendominasi permainan apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-59 menerusi gerakan kemas daripada Bergson kepada Oscar Arribas Pasero, sekali gus mengukuhkan cengkaman pelawat.

Usaha tuan rumah untuk merapatkan jurang terus buntu termasuk percubaan jarak jauh Muhammad Safawi Rashid pada minit ke-71 gagal menemui sasaran.

JDT hampir menambah derita KL City pada minit ke-77 menerusi Ignacio Mendez Navia Fernandez namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mengesan berlaku kesalahan dalam gerakan itu.

Ager Aketxe kemudian melengkapkan malam gemilangnya dengan gol kedua peribadi pada minit ke-84 hasil hantaran Bergson, sekali gus memastikan kemenangan besar 4-0 buat Harimau Selatan.

Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan Kuching City FC bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menentang Selangor FC pada Ahad ini.

Perlawanan separuh akhir kedua antara KL City dan JDT pula akan berlangsung pada Selasa depan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540799