AM

Pelajar Perlu Seimbangkan Penguasaan Ilmu, Adab Dan Akhlak - PM Anwar

04/04/2026 04:47 PM

KUALA KANGSAR, 4 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelajar perlu menekankan pembentukan adab, akhlak dan disiplin dalam usaha mereka menguasai pelbagai bidang ilmu.

Beliau berkata perkara berkenaan tidak boleh diketepikan kerana ia merupakan asas untuk melahirkan pelajar yang seimbang.

"Bukan perkara baharu yang menyebut penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang itu penting, tetapi tidak boleh meninggalkan landasan mendidik manusia ( menerusi) budi pekerti, akhlaknya,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar Bersama Warga Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Auditorium Tun Abdul Razak MCKK, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah.

Anwar berkata dalam tradisi keilmuan Islam, konsep ilmu bukan sekadar penguasaan fakta, tetapi melibatkan penghayatan mendalam yang membawa kepada makrifat.

"Kita semuanya berebut untuk mencari maklumat. Tetapi tidak semua maklumat itu ilmu, bukan semua maklumat itu pengetahuan. 

"Saringan ilmu itu memerlukan usaha kita menilai dan menyaring berita untuk melayakkan kita mendapat makrifat. Jadi ada beza antara maklumat, pengetahuan dan kebijaksanaan,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar yang mendapat pendidikan selama tujuh tahun dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam Atas (1960 hingga 1966) di MCKK turut menyerahkan cek cura berjumlah RM800,000 bagi kerja menaik taraf Dewan Hargreaves MCKK.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540973