AM

PM Anwar Seru Komitmen Global Terhadap Diplomasi

07/04/2026 02:54 PM

KUALA LUMPUR, April 7 (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa konflik di Asia Barat dikendurkan segera dan komitmen global terhadap diplomasi, sambil memberi amaran keganasan berterusan berisiko mencetuskan kesan ekonomi dan keselamatan yang lebih buruk.

Semasa menyampaikan ucap tama di Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, di sini, hari ini, Anwar menyifatkan situasi semasa di Asia Barat sebagai "realiti yang amat sukar dan menyedihkan", yang menyaksikan ribuan nyawa terkorban, kemusnahan infrastruktur awam dan serangan sembarangan ke atas kemudahan kritikal.

"Ketika kita berkumpul untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Turki, kita melakukannya pada saat dunia sekali lagi berdepan dengan realiti yang sukar dan menyedihkan iaitu tragedi perang di Asia Barat," kata beliau.

Anwar berkata konflik yang berterusan telah mengakibatkan penderitaan kepada manusia, dengan beribu-ribu nyawa orang awam tidak bersalah terkorban, termasuk kanak-kanak sekolah, dibunuh beramai-ramai ketika mencari perlindungan di bilik darjah mereka, jambatan dimusnahkan dan kemudahan minyak serta nuklear juga dibom. 

"Kehilangan nyawa dan harta benda terus meningkat, walaupun usaha diplomatik sedang dijalankan untuk menghentikan keganasan dan memulihkan kestabilan," kata beliau.

Perdana Menteri juga memberi amaran tentang kedaulatan yang semakin terhakis dan kelemahan norma antarabangsa disebabkan oleh peningkatan penggunaan kekuatan tentera tanpa batasan undang-undang dan politik.

"Dengan tindakan ketenteraan yang dilakukan secara tidak wajar mahupun keterlaluan, kita sedang menyaksikan keruntuhan prinsip yang telah lama menyokong kestabilan antarabangsa," kata beliau.

Anwar berkata, kerangka peraturan antarabangsa perlu didukung secara konsisten dan bukan secara selektif, sambil menyatakan bahawa kredibilitinya bergantung pada keadilan, terutamanya semasa krisis.

"Ingin saya tekankan di sini. Kerangka peraturan antarabangsa tidak boleh digunakan secara selektif. Ia tidak boleh melindungi sesetengah pihak sambil menafikan hak sah orang lain. Kredibilitinya bergantung sepenuhnya pada pelaksanaannya yang konsisten dan saksama, terutamanya pada saat-saat krisis," kata beliau.

Anwar juga mengulangi pendirian tegas Malaysia dalam menyokong pendekatan diplomasi dan dialog, menyuarakan solidariti dengan pendekatan diplomatik Turki, yang menekankan perbincangan berbanding ketegangan, serta usaha negara lain untuk memudahkan rundingan.

Pada masa yang sama, Anwar menekankan bahawa diplomasi perlu dilaksanakan dengan tulus ikhlas, memberi amaran bahawa gencatan senjata yang dangkal tanpa komitmen sebenar terhadap keamanan hanya akan memanjangkan konflik.

"Apa yang diperlukan sekarang bukanlah pengurusan konflik tetapi penyelesaiannya, komitmen yang sebenar-benarnya untuk meredakan ketegangan, berlandaskan rasa saling menghormati dan keinginan tinggi terhadap keamanan dan kestabilan yang selaras dengan undang-undang antarabangsa," kata beliau.

Anwar berkata konflik itu membawa implikasi yang lebih meluas dengan kesannya tidak lagi terhad kepada rantau tertentu, namun mula dirasai di seluruh dunia, termasuk di Asia Tenggara.

“(Rantau) Teluk, dan khususnya Selat Hormuz, kekal penting kepada keterjaminan tenaga global.

"Sebarang gangguan berterusan bukan sahaja akan menaikkan harga (minyak) bahkan menjejaskan sistem pengeluaran, rantaian bekalan dan kos sara hidup harian berjuta-juta orang merentasi ekonomi maju dan membangun," kata beliau.

Perdana Menteri juga menekankan kepentingan memperkukuh hubungan Malaysia-Turki, dengan menyatakan perkongsian sedemikian dibina atas usaha yang berterusan, kepercayaan dan nilai-nilai yang dikongsi bersama.

"Kerjasama kita tidak muncul secara kebetulan. Ia dibina atas usaha dan komitmen yang berterusan untuk mengukuh kerjasama. Ia merupakan keyakinan mendalam yang berkembang daripada asas kepercayaan bersama, rasa hormat dan nilai-nilai bersama," kata beliau.

Anwar menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak secara kolektif dan tegas bagi mengelakkan krisis yang berpanjangan, sambil menekankan bahawa keamanan mesti dibina melalui usaha yang konsisten, keberanian dan komitmen terhadap keadilan.

“Menyokong mana-mana inisiatif keamanan bukan hanya mantra semata-mata. Keamanan bukan diperoleh secara mudah atau tanpa sebarang usaha. Ia perlu dibina dengan sabar, tekad, keberanian dan komitmen tanpa berbelah bahagi terhadap keadilan dan maruah manusia,” kata beliau. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541927