KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, yang disifatkan sebagai tokoh yang amat berjasa kepada negara.
Anwar berkata jasa dan sumbangan mendiang kepada negara akan sentiasa dikenang serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Takziah kepada keluarga mendiang Tun Dr Ling Liong Sik, seorang tokoh politik negara, atas pemergian beliau pagi ini.
“Moga roh mendiang disemadikan dengan aman dan tenang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dr Ling meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.
Bekas Presiden MCA yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA itu merupakan antara tokoh veteran politik paling lama berkhidmat dalam Kabinet, memegang portfolio Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 hingga meletak jawatan pada 2003.
-- BERNAMA