KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menyalurkan bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata pihaknya juga akan meneliti keperluan lain dari semasa ke semasa.
"Kita juga akan memohon kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan bagi menampung kadar kos sewa rumah mangsa yang dianggarkan kira-kira RM500 sebulan bagi tempoh enam bulan," katanya kepada pemberita di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh, di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud hadir di lokasi kebakaran untuk menyampaikan sumbangan wang tunai berkenaan kepada lapan keluarga yang terkesan dalam insiden kebakaran itu.
Dalam kejadian kira-kira 9.45 malam pada Jumaat lepas, sebanyak lapan rumah terbakar dengan lima daripada rumah berkenaan musnah 100 peratus, manakala bakinya terbakar 10 peratus.
Izani berkata pihaknya juga mengalu-alukan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa kebakaran yang terlibat.
"Setakat ini sudah ada beberapa NGO yang tampil menghulurkan bantuan. Kita juga akan cuba memohon bantuan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Sementara itu, mangsa Afida Afandi, 34, menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan yang dihulurkan oleh kerajaan negeri, sekali gus dapat meringankan beban.
"Buat sementara waktu, saya serta keluarga kini menetap di sebuah rumah sewa yang disediakan oleh pihak NGO. Mereka akan menampung sewa kesemua mangsa yang terlibat bagi tempoh tiga bulan.
"Saya berharap ada mana-mana pihak yang tampil untuk memberi bantuan kediaman kepada kami selepas ini memandangkan kami buntu untuk memulakan semula kehidupan terutamanya bagi membina kediaman lain," katanya.
-- BERNAMA