AM

Dua Gajah Jantan Ganggu Penduduk Di Aring Sejak Dua Tahun Lepas Ditangkap

05/04/2026 06:41 PM

GUA MUSANG, 5 April (Bernama) -- Dua gajah jantan yang sering mengganggu kira-kira 500 penduduk dan pekerja di kawasan perumahan Felda Aring 10 dan 11 di sini sejak dua tahun lepas, akhirnya berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Penduduk Ainina Afiqah Mohamad Rotik, 29, berkata kehadiran mamalia itu bukan sahaja mengancam keselamatan tetapi turut merosakkan tanaman dan harta benda penduduk di kawasan berkenaan. 

Beliau berkata gajah liar itu semakin kerap muncul sejak tiga bulan lepas sehingga memaksa penduduk mengehadkan pergerakan, terutama pada waktu malam. 

“Sebelum ini ia telah merosakkan garaj kereta dan masuk ke kawasan rumah. Memang risau juga sebab haiwan itu lalu ikut jalan berhampiran rumah.

“Apabila dua gajah ini berjaya ditangkap, saya berasa sangat lega dan bersyukur,” katanya ketika ditemui di Aring 10 di sini hari ini. 

Pekerja ladang Muhamad Haika Mohd Zali, 34, pula berkata haiwan liar itu turut memasuki kawasan ladang dan merosakkan anak pokok kelapa sawit sehingga mengakibatkan kerugian. 

Beliau berkata dua gajah jantan itu berjaya ditangkap pada 1 April lepas setelah pihaknya membuat laporan kepada Perhilitan. 

“Dulu ada juga gajah liar yang masuk kawasan ini sekejap selepas itu terus keluar tetapi dua gajah jantan ini pula memang kerap berada di kawasan perumahan kami.

“Terima kasih kepada Perhilitan yang berjaya menangkap gajah liar ini dan saya harap dengan tertangkapnya dua gajah ini, haiwan lain tidak akan masuk lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541235