GUA MUSANG, 4 April (Bernama) -- Kira-kira 30 keluarga di kuarters Hospital Gua Musang bimbang dengan keselamatan mereka susulan penemuan bangkai seekor biri-biri dipercayai dibaham harimau kumbang kira-kira 10 meter dari kuarters itu pada Khamis lepas.
Penduduk Mohd Helmiey Shudi Hussin, 42, berkata kejadian itu yang pertama kali berlaku sejak dia menetap di kuarters tersebut enam tahun lepas.
“Kejadian yang berlaku sangat hampir dengan kawasan rumah penduduk membuatkan kami takut dan risau dengan keselamatan, terutamanya anak-anak yang bermain di luar rumah.
“Saya difahamkan penduduk yang tinggal lebih lama di sini pernah terserempak harimau kumbang di kawasan kuarters mengejar dan menangkap seekor kucing beberapa tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Lelaki itu berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa kerana bimbang akan keselamatan penduduk, selain kuarters terletak berhampiran gua yang mungkin menjadi habitat haiwan liar tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Wan Mohd Adib Wan Yusoh ketika dihubungi berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut kejadian tersebut.
-- BERNAMA