JENAYAH & MAHKAMAH

Kebakaran 300 Hektar Ladang Di Rompin Hampir Dipadamkan Sepenuhnya - Bomba

07/04/2026 03:02 PM

KUANTAN, 7 April (Bernama) -- Kebakaran sebuah ladang kelapa sawit di Rompin yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 300 hektar hampir dipadamkan sepenuhnya dengan hanya baki kecil kira-kira 0.2 hektar masih dalam operasi pemadaman hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata lebih 299 hektar kawasan yang terbakar telah dipadamkan sejak operasi bermula pada 23 Mac lepas.   

Beliau berkata operasi pemadaman dan mengawal kebakaran giat dijalankan bagi memastikan api tidak merebak semula ke kawasan berhampiran, terutama dalam keadaan cuaca panas.  

"Setakat ini, lebih 99 peratus kawasan kebakaran berjaya dipadamkan dengan operasi di tiga daripada empat sektor, iaitu B, C dan D telah selesai sepenuhnya setakat 5 petang semalam. 

"Kami menjangkakan baki kawasan kebakaran itu akan dapat dipadamkan sepenuhnya hari ini setelah dua minggu memulakan operasi pemadaman di sini," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Mohd Salahuddin berkata antara cabaran yang dihadapi oleh pasukannya ialah kawasan kebakaran yang luas, sumber air dan cuaca yang panas.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin, Muadzam Shah, Triang, dan Mentakab itu berjalan dengan baik selain mendapat kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pekerja ladang yang memberikan bantuan teknikal di lokasi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541977