EKONOMI

Visi Dr Ling Mendasari Pembangunan Bakat Logistik Malaysia - FMFF

05/04/2026 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Mendiang Tun Dr Ling Liong Sik memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan dan merupakan seorang yang berwawasan dalam mengiktiraf industri logistik sebagai tonggak utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) berkata bekas menteri pengangkutan itu disifatkan sebagai seorang pemimpin terkemuka, penjawat awam yang berwawasan dan penyokong teguh komuniti logistik serta pengangkutan Malaysia.

“Pandangan jauh beliau melangkaui infrastruktur dan dasar, dengan menekankan kepentingan bakat yang mahir dan profesional sebagai pemacu sebenar kemajuan industri.

“Kepimpinan Dr Ling telah mengilhamkan persekutuan itu untuk menubuhkan Institut Penghantar Fret Malaysia (MIFF) bagi membangunkan program pendidikan dan latihan yang mampan serta berstruktur untuk sektor logistik,” kata FMFF dalam satu kenyataan hari ini.

Persekutuan itu turut mendedahkan ketika industri logistik masih berkembang, Dr Ling telah mengiktiraf bahawa sektor logistik yang kukuh, cekap dan profesional adalah penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Visi beliau melangkaui infrastruktur dan dasar, kerana beliau memahami bahawa insan merupakan pemacu sebenar kepada kemajuan," katanya.

FMFF berkata Dr Ling turut memainkan peranan penting dalam memudah cara pemberian geran berjumlah RM100,000, yang menjadi dana permulaan untuk program pendidikan dan latihannya.

Katanya, sokongan itu bukan sekadar berbentuk kewangan, sebaliknya merupakan satu tanda keyakinan yang kukuh terhadap masa depan industri berkenaan.

Sejak itu, ribuan tenaga kerja industri telah dilatih menerusi program yang diiktiraf, sekali gus memperkukuh keupayaan dan membentuk ekosistem logistik yang lebih berdaya tahan.

Sehubungan itu, persekutuan berkenaan menzahirkan rasa hormat dan berterima kasih yang paling dalam bagi mengenang kehidupan serta legasi Dr Ling, sambil menyatakan mendiang akan sentiasa dikenang dengan penuh penghormatan dan penghargaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541267