KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Sebanyak 13 pendatang asing warga Myanmar ditahan menerusi Ops Serkap yang dijalankan di sekitar Kampung Semut Api di sini, pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 36 tahun, yang ditemukan dalam keadaan bersesak di dalam sebuah bilik tingkat atas rumah tumpangan.
Beliau berkata operasi pada 9.30 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan intipan, yang melibatkan 17 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan.
"Mereka mengaku dibawa masuk pada tengah malam semalam dengan bot dari negara jiran dan menyusuri Sungai Kelantan sebelum diangkut dengan kenderaan ke lokasi serbuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua warga Myanmar itu sedang menunggu kenderaan untuk mengangkut mereka bekerja di Ipoh, Perak dan telah membayar sejumlah RM4,500 kepada ejen yang menguruskan perjalanan mereka bermula dari Myanmar.
"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan bagi tindakan selanjutnya," katanya.
-- BERNAMA