AM

Nancy Beri Sumbangan Buat Jurufoto Bernama Razali Nordin 

06/04/2026 09:33 PM

KUCHING, 6 April (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan sumbangan pada jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Razali Nordin, yang sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Nancy dalam hantaran Facebook rasminya berkata Razali, 54, merupakan rakan media yang sering kali bertugas membuat liputan berita mengenai dirinya di Kuching, Sarawak.

Beliau berkata Razali dijadualkan akan menjalani pembedahan injap jantung di Pusat Jantung Sarawak pada 4 Mei akan datang.

“Bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung, saya melalui pegawai media saya telah menyerahkan sumbangan kebajikan secara sekali beri kepada beliau (Razali).

“Semoga sedikit sumbangan ini dapat menceriakan dan meringankan beban yang ditanggung beliau serta ahli keluarga,” katanya.

Razali telah berkhidmat di Sarawak selama lebih 20 tahun, diuji dengan pelbagai komplikasi kesihatan seperti jantung, batu karang, buah pinggang dan diabetes.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541767