AM

Malaysia Peneraju Halal Global, Keluar Sijil 51 Tahun Dan Diiktiraf Lebih 50 Negara - Ahmad Zahid

07/04/2026 01:36 PM

TASEK GELUGOR, 7 April (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan yang diiktiraf lebih 50 negara, selain mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kekuatan negara bukan sahaja terletak pada pengeluaran sijil halal, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk pengeluaran, pengedaran dan pemasaran ke peringkat global.

“Malaysia adalah peneraju kepada pengeluaran sijil halal. Tahun ini ialah tahun ke-51 pengeluaran sijil halal, tiada negara Islam atau negara bukan Islam yang mengeluarkan sijil-sijil halal seperti ini (yang diiktiraf banyak negara), melainkan Malaysia,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park di Perda Food Park, di sini hari ini.

Beliau menegaskan usaha itu menjadi penanda aras antarabangsa dalam pembangunan ekosistem halal menyeluruh, termasuk pengembangan industri dan pengedaran ke pasaran domestik serta antarabangsa.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri yang pertama, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dalam membangunkan sektor berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menggesa negeri lain, khususnya yang diperintah pihak pembangkang membangunkan taman industri halal masing-masing.

“Negeri yang diperintah oleh parti yang berlandaskan pada Islam pun tidak ada industri halal, saya harap mereka tidak bercakap sahaja tetapi laksanakan. Kalau benar-benar mereka memperjuangkan Islam, kita mahu lihat industri halal park mesti diwujudkan oleh negeri-negeri berkenaan. 

“Negeri seperti Pulau Pinang pun telah mewujudkan industri halal dengan lebih awal daripada negeri lain, maka kita cabar negeri-negeri berkenaan (pembangkang) untuk membuat industri halal ini lebih besar daripada Pulau Pinang kalau boleh,” katanya.

Mengenai Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park, Ahmad Zahid  berkata fasa kedua projek itu ialah satu kejayaan membanggakan, dan bakal diperluas lagi melalui perancangan fasa ketiga termasuk pembinaan jambatan bagi meningkatkan keterhubungan kawasan industri.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus menghubungkan usahawan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pasar raya tempatan dan antarabangsa serta platform pemasaran global.

“Setiap produk yang keluar dari Industri PERDA Halal Park akan dibantu dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui platform perdagangan digital dan pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS),” katanya.

Selain itu, beliau menekankan penggunaan teknologi seperti Internet benda (IoT) dan sistem blockchain (blok rantai) bagi meningkatkan piawaian kualiti serta ketelusan rantaian bekalan halal.

Dengan peruntukan RM33 juta, Industri PERDA Halal Park Fasa Dua dirangka sebagai ekosistem perniagaan yang lengkap.

Projek ini merangkumi pembinaan 22 unit industri teres satu tingkat, yang akan menjadi nadi pengeluaran produk halal usahawan, serta fasiliti sokongan yang inklusif termasuk pejabat pentadbiran, surau, dewan serbaguna, tandas dan kompleks makanan dengan lima unit gerai.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541916