AM

Malaysia, Brunei Perkasa Komitmen Pengurusan Bencana Menerusi Kerjasama NADMA-NDMC

09/04/2026 05:10 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Malaysia dan Brunei terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam pengurusan bencana, khususnya perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti dan latihan bersama, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei yang menjadi platform utama penyelarasan pelbagai inisiatif sejak 2022.

Katanya Malaysia dan Brunei juga bersetuju untuk menekankan kepentingan pelaksanaan latihan sepadu pengurusan bencana rentas sempadan secara berkala memandangkan kedua-dua negara berkongsi sempadan darat yang panjang.

“Usaha membangunkan prosedur operasi standard bagi pengurusan bencana rentas sempadan sedang giat dijalankan bagi memastikan tindak balas yang terselaras, pantas dan berkesan sekiranya berlaku bencana di kawasan sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Kunjungan berkenaan merupakan manifestasi kepada hubungan persahabatan yang erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang berteraskan persamaan sejarah, budaya, bahasa dan hubungan kekeluargaan yang rapat.

Ahmad Zahid berkata beliau juga telah berkongsi mengenai penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara sebagai platform tertinggi bagi memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan pengurusan bencana secara lebih menyeluruh.

“Malaysia turut memperkenalkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional sebagai gerakan berterusan untuk menyemai budaya siaga dalam kalangan rakyat di semua peringkat dalam mendepani sebarang risiko serta cabaran bencana,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia melalui Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) komited untuk memberikan sokongan penuh kepada Brunei bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa INSARAG External Classification (IEC).

Pasukan SMART sebagai mentor akan berkongsi kepakaran dan bimbingan teknikal serta penilaian keupayaan operasi mencari dan menyelamat di kawasan bandar (USAR) bagi pasukan penyelamat Brunei.

“Selain itu, kami telah menyambut baik cadangan untuk menghidupkan semula Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) yang melibatkan pelbagai tema operasi penyelamatan demi memperkukuh keupayaan agensi tindak balas kedua-dua pihak.

“Saya berharap agar momentum kerjasama ini akan diteruskan melalui Mesyuarat Bilateral Kali Kelima antara NADMA dan NDMC yang dijadualkan berlangsung di Langkawi pada Julai 2026,” katanya.

Kunjungan berkenaan turut memberi peluang kepada delegasi Brunei untuk meninjau kemudahan di Pusat Simulasi Bencana di Markas SMART bagi meneroka peluang penganjuran latihan bersama di fasiliti tersebut pada masa hadapan.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542987