KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik perkembangan terkini konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, susulan cadangan 10 perkara yang dikemukakan Iran dan diterima baik oleh AS.
Beliau berkata cadangan berkenaan memberikan harapan positif bagi pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga peringkat global.
“Diharapkan proses rundingan dijalankan dengan niat baik serta tekad yang kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu sedang dihadapi rantau ini. Rundingan keamanan tidak akan berjaya sekiranya proses diselubungi penipuan dan muslihat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata cadangan 10 perkara itu hendaklah diterjemahkan kepada perjanjian keamanan yang komprehensif, bukan sahaja untuk Iran tetapi juga bagi Iraq, Lubnan dan Yaman.
Beliau berkata semua pihak berkepentingan perlu memastikan berakhirnya genosid dan perampasan tanah terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif, atas usaha diplomatik tanpa mengenal penat lelah yang membantu merealisasikan perkembangan terkini itu.
“Kesediaan Pakistan untuk berbincang dengan semua pihak, tanpa rasa takut atau pilih kasih, mencerminkan tradisi tertinggi solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa,” kata beliau, sambil menambah bahawa Malaysia sedia menyokong dan melengkapkan semua usaha berkaitan hal berkenaan.
Anwar juga menyeru masyarakat antarabangsa agar memastikan akses kemanusiaan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat peperangan diberikan tanpa sebarang halangan.
“Semoga ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan. Dunia tidak mampu menerima hasil yang kurang daripada itu,” kata beliau.
Iran, pada awal pagi Rabu, mengesahkan AS secara prinsipnya menerima cadangan 10 perkara dikemukakan republik itu bagi menamatkan peperangan antara kedua-dua negara , menurut laporan Anadolu Ajansi, memetik rangkaian penyiaran rasmi Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB).
Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran, cadangan berkenaan akan dijadikan kerangka rasmi rundingan bagi memuktamadkan perjanjian yang lebih menyeluruh, meskipun perincian pelan berkenaan tidak didedahkan secara rasmi kepada umum.
Menurut IRIB, cadangan itu merangkumi beberapa tuntutan utama termasuk jaminan untuk tidak menyerang Iran, pengekalan kawalan Iran terhadap Selat Hormuz, pengiktirafan hak Tehran dalam pengayaan uranium selain pemansuhan semua sekatan utama dan sekunder AS.
Cadangan itu juga merangkumi pembatalan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), pembayaran pampasan pengunduran tentera tempur AS dari rantau tersebut serta penamatan permusuhan di semua medan tempur termasuk di Lubnan.
Terdahulu, Presiden AS Donald Trump menyatakan kesediaan Washington untuk menangguhkan serangan ke atas Iran selama dua minggu dan menyifatkan cadangan Tehran sebagai asas yang praktikal untuk rundingan damai.
-- BERNAMA