Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Korea Selatan menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan strategik utama dalam memperkasakan industri maritim dan pembinaan kapal di Perak, sekali gus meletakkan negeri itu sebagai hab serantau yang berdaya saing bagi sektor maritim berteknologi tinggi.
Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata industri pembinaan kapal republik itu yang memiliki teknologi bertaraf dunia serta kepakaran operasi yang luas melihat potensi besar untuk bekerjasama dengan Malaysia, khususnya di Lumut.
Beliau berkata syarikat-syarikat Korea Selatan telah menyatakan hasrat untuk menyokong pembangunan ekosistem pembinaan kapal di Perak sekiranya projek kerjasama dengan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) direalisasikan.
"Syarikat-syarikat (Korea Selatan) telah menyatakan dengan jelas kesediaan mereka, sekiranya syarikat Korea diberi peluang oleh Kerajaan Malaysia untuk bekerjasama dengan LUNAS, peluang ini akan diambil sebagai titik permulaan bagi menyokong secara aktif dan substantif pembangunan ekosistem pembinaan kapal Malaysia, terutama di Perak," katanya dalam temu bual bertulis eksklusif bersama Bernama hari ini.
Yeo berkata bidang kerjasama yang dicadangkan merangkumi latihan tenaga kerja, pemindahan teknologi kepada limbungan kapal tempatan serta pengukuhan keupayaan dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Selain itu, beliau berkata kerjasama tersebut bertujuan memperluas penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan bagi peralatan dan bahan maritim.
Lawatannya ke limbungan LUNAS di Lumut mengulangi keyakinan Seoul terhadap masa depan industri maritim di kawasan itu, yang kini sedang dibangunkan sebagai Bandar Industri Maritim Lumut (LuMIC).
“Lawatan ini menegaskan bahawa Malaysia, terutamanya LuMIC di Perak, mempunyai potensi kukuh untuk berkembang menjadi hab serantau utama bagi industri maritim dan pembinaan kapal,” katanya.
Mengenai kepentingan strategik Perak, Yeo menggambarkan negeri itu sebagai tonggak rangkaian logistik masa depan kerana lokasinya yang menghubungkan Lembah Klang di selatan dan Pulau Pinang di utara.
Terdahulu, Yeo mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad di Ipoh hari ini bagi memperkukuh asas kerjasama dengan kerajaan negeri.
Lawatan itu bertujuan untuk meneroka peluang bagi kerjasama ekonomi dan industri, dengan memanfaatkan potensi pertumbuhan Perak yang ketara hasil daripada kelebihan geografi strategik serta kekayaan sumber semula jadi.
Yeo berkata Kedutaan Korea Selatan dan Kerajaan Negeri Perak akan mengekalkan komunikasi rapat bagi menjayakan perbincangan ini menjadi projek konkrit yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua pihak.
-- BERNAMA