JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Wanita Cedera, Diugut: Kertas Siasatan Dirujuk Ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya

07/04/2026 03:00 PM

GEORGE TOWN, 7 April (Bernama) -- Polis akan merujuk kertas siasatan kes seorang wanita tempatan yang mendakwa dicederakan, diugut dan kenderaannya dirosakkan dalam kejadian di Jalan Tun Sardon di Balik Pulau baru-baru ini, ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan lanjut.

"Dalam kejadian pada 1 tengah hari, 4 Mac lepas, seorang wanita berusia 40 tahun hadir ke Balai Polis Balik Pulau untuk membuat laporan selepas mengalami kecederaan, dan menerima ugutan yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham melibatkan dua lelaki tempatan.

“Mangsa turut mendapati kenderaannya telah dirosakkan dan wanita itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau selepas insiden tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Semalam, Penasihat Guaman DAP RSN Rayer meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kes seorang wanita yang diserang di tempat awam walaupun laporan polis serta bukti kecederaan telah dikemukakan.

Rayer dilaporkan berkata mangsa, Fam Yean Nie, 40, telah membuat laporan polis selain menjalani pemeriksaan perubatan, yang mengesahkan kecederaan tisu lembut pada tangan kanan selain terdapat kesan lebam yang jelas pada bahagian tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541976