IPOH, 7 April (Bernama) -- Seorang pekerja pembersihan lelaki di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sports Bowl, Tanjong Malim disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, kata Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Khalid Mohamad.
Beliau berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim menerima maklumat tentang insiden itu melalui sistem NG999 pada 1.57 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi dan mendapati pihak Kementerian Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah berada di tempat kejadian manakala mangsa yang berusia 53 tahun tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik utiliti.
"Usaha bantuan pernafasan telah diberikan oleh petugas perubatan selama kira-kira 15 minit namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.23 pagi... siasatan awal di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River untuk proses bedah siasat... punca kematian adalah akibat serangan jantung," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Khalid berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah terlibat, dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan selain menghormati privasi keluarga mangsa.
Terdahulu, Pengurus UPSI Sports Bowl Dzulkarnain Sapian memaklumkan mangsa, iaitu Mohd Radzi Ariffin sempat mengadu sakit kepala kepada isterinya sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik stor peralatan pembersihan di premis berkenaan.
Beliau berkata insiden itu hanya disedari pada kira-kira 1 pagi selepas isteri mangsa datang ke pusat boling untuk mencari suaminya yang tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.
-- BERNAMA