JENAYAH & MAHKAMAH

Ibu Tunggal Mengaku Tidak Bersalah Buat Hantaran Jelik Babitkan Institusi Diraja

07/04/2026 03:18 PM

JOHOR BAHRU, 7 April (Bernama) -- Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkaitan institusi diraja menerusi media sosial, bulan lepas.

Nurul Huda Mohd Bajuri, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Bagi pertuduhan pertama, Nurul Huda didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di TikTok dan Instagram menerusi akaun “ratunurutriratubalqis” dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pangsapuri Sri Larkin B, Jalan Tun Abdul Razak di sini, antara kira-kira pukul 4 petang, 27 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afdhallan Syafiq Azmi memohon jaminan RM15,000 bagi dua pertuduhan itu dengan dua penjamin.

Peguam Nurul Hidayah Mohammad Asri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung seorang anak berusia 16 tahun dan bekerja sebagai penasihat dengan pendapatan RM3,000.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan kes ditetapkan pada 8 Mei untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun ditahan di Taman Saujana di sini bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541987