KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kejayaan membanteras rasuah secara berkesan bukan sekadar bergantung kepada kekuatan perundangan, sebaliknya menuntut ketegasan kepimpinan serta pembudayaan integriti yang menyeluruh.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata sistem yang ampuh sekalipun tetap akan menemukan kegagalan sekiranya barisan kepimpinan lemah dan bersikap kompromi terhadap amalan rasuah.
"Kejayaan atau kegagalan sesuatu sistem tidak ditentukan oleh undang-undang semata-mata, tetapi oleh kepimpinan.
"Sekiranya kepimpinan itu ada ‘political will’ yang jelas, tegas dan tidak berkompromi, walaupun belum adanya sistem yang baik, reformasi dan pergerakan ke arah tadbir urus yang lebih efisien, berintegriti dan mantap akan berlaku," katanya dalam ucaptama di Wacana Ilmiah Perdana anjuran Asia e University (AeU), di sini hari ini.
Azam berkata SPRM kini menggerakkan pendekatan 'Three-Pronged Approach' yang merangkumi pemerkasaan penguatkuasaan yang berkesan, pencegahan menyeluruh dan pengurusan yang efektif.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sekadar strategi organisasi, tetapi ialah kerangka pemikiran yang perlu diterapkan dalam seluruh ekosistem negara bagi menutup ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah.
"Ini kerana rasuah tidak hanya berpunca daripada individu, tetapi daripada sistem yang masih memberikan ruang dan peluang untuk ia berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Azam berkata SPRM telah mengenal pasti tiga sektor berisiko tinggi yang menjadi fokus utama, iaitu perolehan kerajaan membabitkan isu kartel atau monopoli, sektor penguatkuasaan sempadan serta ketirisan dana awam yang menjejaskan kepentingan rakyat.
Beliau berkata dalam landskap masa kini, amalan tidak beretika itu tidak berlaku dalam 'vakum', sebaliknya melibatkan rangkaian yang merentasi pelbagai sektor termasuk awam, korporat, kewangan dan antarabangsa yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.
-- BERNAMA