AM

Ahmad Zahid Beri Penghormatan Terakhir Kepada Tun Dr Ling

07/04/2026 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Pengangkutan dan Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik, di sini hari ini.

Upacara yang diadakan di Pusat Xiao En itu antaranya dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata Dr Ling merupakan mentor beliau di luar UMNO.

“Saya banyak belajar daripada perjuangan beliau (Dr Ling) dan bagaimana MCA, MIC dan UMNO seperti adik beradik. Inilah yang saya belajar daripada beliau,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Dr Ling pernah memimpin MCA serta berkhidmat sebagai menteri selama 17 tahun dan sepanjang tempoh itu, mendiang turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama antara parti komponen BN.

“Beliau juga pernah menjadi Pengerusi BN selama 12 hari ketika UMNO diharamkan suatu ketika dahulu. Ketika itu beliau menguruskan mesyuarat BN dan menjemput UMNO baharu untuk menyertai semula BN. Jadi, ini adalah sejarah,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata Dr Ling merupakan seorang negarawan yang sangat dihormati dan beliau amat menghargai segala sumbangan mendiang terutamanya dalam bidang politik. 

“Antara sumbangan penting beliau ialah kestabilan politik yang kita hargai pada tahun 80-an hingga 90-an, dengan Barisan Nasional (BN) sangat kuat malah ekonomi kita bertumbuh dengan pesat disebabkan kestabilan politik yang datang hasil kerjasama erat antara MCA di bawah pimpinan Dr Ling, UMNO dan juga parti lain dalam BN.

“Saya harap kestabilan dan kekuatan politik itu yang dibawa Dr Ling boleh menjadi teladan kepada pemimpin BN hari ini,” kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

Dr Ling yang meninggal dunia Sabtu lepas pada usia 82 tahun meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua cahaya mata lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 hingga peletakan jawatan beliau pada 2003.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini menyifatkan mendiang Dr Ling sebagai tokoh yang meninggalkan legasi besar dan signifikan kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan negara.

"Dr Ling merupakan mantan menteri pengangkutan yang paling lama berkhidmat selama 17 tahun. Sudah tentunya dalam tempoh yang panjang itu, beliau banyak menyumbang kepada negara.

"Banyak infrastruktur pengangkutan yang kita nikmati hari ini dimulakan di bawah kepimpinan beliau termasuklah Westports, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga projek landasan berkembar kereta api," kata Setiausaha Agung DAP itu kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Dr Ling.

Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo yang menyifatkan mendiang sebagai seorang tokoh politik yang sangat disegani dalam sejarah tanah air.

"Apa yang telah beliau laksanakan semasa bergelar pemimpin, kesannya dapat kita lihat pada pembangunan negara hari ini.

“Bagi saya, beliau juga adalah seorang kawan kepada mendiang bapa saya, Karpal Singh dan mereka ke universiti yang sama dan sebagainya. Jadi banyak cerita yang kita telah pun kongsikan termasuk dari sudut kekeluargaan,” kata Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Upacara penghormatan terakhir Dr Ling hari ini turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542168