PASARAN

Ringgit Ditutup Hampir Mendatar Berbanding Dolar AS Ketika Konflik Berterusan Asia Barat

07/04/2026 07:31 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Ringgit ditutup hampir mendatar berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur terus berwaspada dalam persekitaran konflik yang berterusan di Asia Barat.

Pada 6 petang, mata wang tempatan hampir mendatar berbanding dolar AS apabila menyusut kepada 4.0275/0320 berbanding 4.0245/0320 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar AS berikutan peniaga memantau perkembangan terkini.

Beliau berkata perkara yang menjadi tumpuan utama dalam kalangan peniaga adalah desakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya Iran membuka semula Selat Hormuz.

“Harga minyak mentah Brent meningkat sehingga US$111 setong sebelum menyusut kepada sekitar US$109 setong, mencerminkan persekitaran dagangan yang berhati-hati pada sepanjang hari,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut berbanding euro kepada 4.6566/6618 daripada 4.6483/6570 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3425/3484 berbanding 5.3305/3404 semasa ditutup semalam.

Sementara itu, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5229/5258 daripada 2.5241/5290.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit menokok berbanding baht Thailand kepada 12.3809/4021 daripada 12.3831/4138, meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.69 daripada 6.70/6.72 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 235.4/235.8 daripada 236.2/236.8.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura apabila menyusut kepada 3.1381/1419 daripada 3.1346/1407 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542177