Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri penurunan harga selama tiga hari berturut-turut untuk ditutup lebih tinggi pada Khamis, disokong oleh aktiviti belian harga rendah dan pemulihan harga tenaga, kata seorang penganalisis.
Ketua Penyelidik Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh pelarasan kedudukan menjelang laporan bulanan utama bermula dengan laporan World Agricultural Supply and Demand Estimates lewat malam ini diikuti laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Jumaat.
"Pasaran juga sedang memerhati dengan teliti rundingan penting di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran di Islamabad yang akan membincangkan perkara-perkara utama berkaitan dengan gencatan senjata," katanya kepada Bernama.
Dilaporkan Iran bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu dengan AS dan Majlis Keselamatan Negara Iran menyatakan perbincangan dengan Washington akan dimulakan di ibu kota Pakistan, Islamabad pada Jumaat.
Pada penutup dagangan, kontrak April dan Mei 2026 masing-masing meningkat RM53 kepada RM4,571 dan RM4,610 setiap tan manakala kontrak Jun 2026 naik RM57 kepada RM4,643 setiap tan.
Kontrak Julai 2026 menokok RM59 kepada RM4,652 setiap tan, kontrak Ogos 2026 menambah RM58 kepada RM4,635 setiap tan dan kontrak September 2026 mengukuh RM62 kepada RM4,613 setiap tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 66,606 lot daripada 105,474 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka turun kepada 258,033 kontrak daripada 260,341 kontrak.
Harga fizikal MSM untuk April Selatan berkembang RM80 kepada RM4,650 setiap tan.
-- BERNAMA