IPOH, 9 April (Bernama) -- Bekalan ikan negara ketika ini masih tidak terjejas walaupun berdepan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.
Beliau berkata operasi vesel penangkapan ikan dari zon A, B dan C masih berjalan seperti biasa dengan sokongan subsidi bahan api daripada kerajaan.
“Buat masa ini, nelayan kategori C2 (laut dalam) paling terkesan akibat kenaikan harga bahan api, namun kami menjangkakan mereka tetap beroperasi bagi memastikan bekalan ikan negara terjamin.
“Sekiranya senario menjadi lebih buruk dan vesel-vesel tidak dapat beroperasi sepenuhnya, stok simpanan sedia ada masih mampu menampung keperluan pengeluaran ikan bagi tempoh tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Sesi Libat Urus Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Perang Iran dan Amerika Syarikat Terhadap Sektor Perikanan Negara Bagi Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak di Menara Air Perak, di sini hari ini.
Adnan berkata subsektor akuakultur juga memainkan peranan penting dalam menampung bekalan ikan sekiranya pengeluaran daripada sektor perikanan laut mengalami gangguan.
Beliau berkata walaupun kos makanan ternakan dijangka meningkat akibat isu logistik, stok sedia ada yang dimiliki penternak masih mencukupi untuk memastikan pengeluaran ikan terus stabil.
Menurutnya, pihaknya turut memantau perkembangan cuaca, khususnya fenomena El Nino, yang dijangka memberi kesan kepada paras air sungai dan pengeluaran akuakultur di beberapa negeri pada Mei dan Jun ini.
Sementara itu, Adnan berkata Pindaan Akta Perikanan 2025 yang diluluskan pada 31 Dis tahun lepas, akan dikuatkuasakan sepenuhnya 1 Jun ini sebagai langkah strategik memperkukuh sektor perikanan negara dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau berkata pindaan itu dirangka secara menyeluruh selain bertujuan menangani isu kritikal termasuk aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing), kemerosotan stok sumber perikanan serta perubahan iklim yang memberi kesan kepada sekuriti makanan negara.
“Pindaan ini akan memperkukuh kawal selia aktiviti perikanan termasuk pendaratan, pemunggahan dan pindah kapal, selain meningkatkan hukuman dengan penalti am hingga RM100,000, denda maksimum RM250,000 serta penjara bagi kesalahan serius, dan menaikkan denda hingga RM1 juta bagi kesalahan di kawasan taman laut serta rizab laut,” katanya.
Adnan berkata pindaan ini turut melibatkan penambahan tafsiran dan seksyen baharu serta penambahbaikan peruntukan sedia ada bagi memastikan rangka perundangan sektor perikanan lebih komprehensif dan responsif terhadap keperluan semasa.
-- BERNAMA