MELAKA, 8 April (Bernama) -- Tiga lelaki didenda RM500 hingga RM700 serta diperintahkan menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam.
Kes berkenaan adalah pendakwaan pertama di Melaka di bawah Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Mohamad Faez Sahli, 28, Yeo Hong Huat, 57, dan K Danesh, 29, selaku orang kena saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang disediakan.
Mohamad Faez didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Bandar Bestari, Jasin pada 8 Jan kira-kira 11 pagi, manakala Yeo di Taman Mutiara Melaka di Batu Berendam pada 23 Jan sekitar 10 pagi.
Danesh yang bekerja di sebuah kilang di Pahang pula didapati melakukan kesalahan tersebut di Pantai Klebang pada 1 Jan, sekitar 3 petang.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta 672 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 serta perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh enam bulan sebagaimana ditetapkan mahkamah.
Dalam rayuan, kesemua OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai tanggungan, baru mendapat pekerjaan dan faktor kesihatan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SWCorp Dewira Sheera Norman, Abd Hadi Abd Wahab dan Muhammad Syarihul Mohd Dzahir mencadangkan hukuman setimpal berbentuk pemulihan sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM500 terhadap Mohamad Faez dan Danesh serta memerintahkan kedua-duanya menjalani khidmat masyarakat selama 12 jam, manakala Yeo didenda RM700 dan diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 10 jam.
Kesemua OKS perlu melaksanakan perintah khidmat masyarakat itu dalam tempoh enam bulan.
-- BERNAMA