KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Polis menahan tiga individu kerana disyaki terlibat dalam protes yang mengganggu satu acara awam yang dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata ketiga-tiga individu itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan setakat ini, lebih dua laporan polis telah dibuat.
“Kita telah membuka kertas siasatan melibatkan kesalahan menghalang penjawat awam, hasutan dan pencerobohan.
“Tangkapan dibuat bagi membolehkan kita melengkapkan siasatan, khususnya untuk mengenal pasti elemen kesalahan termasuk sama ada tindakan mereka telah menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fadil berkata siasatan sedang dipercepat dan tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim menyifatkan tindakan sekumpulan individu mencetuskan provokasi ketika ucapan Azam melampaui batas kebebasan bersuara.
Beliau berkata dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi, kebebasan bersuara sememangnya perlu dihormati, namun perkara itu tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan provokasi atau mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan mengangkat plakad dan mencetuskan gangguan ketika program rasmi bukanlah satu bentuk advokasi yang matang, sebaliknya mencerminkan kegagalan memahami batas antara kebebasan dengan tanggungjawab.
“Malaysia ialah negara berperlembagaan yang menyediakan saluran sah untuk menyuarakan pandangan melalui laporan rasmi, forum terbuka atau proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan suasana tenang pada Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bertukar kecoh apabila sekumpulan individu melakukan protes secara tiba-tiba.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua lelaki dilihat mengangkat kertas mahjung yang tertera tulisan "Tangkap Azam Baki" dan "Azam Baki Simbol Reformati" ketika ucaptama sedang berlangsung.
-- BERNAMA