AM

Jangan Panik, Bekalan Bahan Api Di Pulau Pinang Masih Ada - KPDN

08/04/2026 08:30 PM

GEORGE TOWN, 8 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menasihati orang ramai agar tidak panik susulan laporan gangguan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di negeri ini.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata hanya satu syarikat minyak, iaitu Shell memaklumkan berlaku gangguan bekalan sementara berikutan kelewatan ketibaan kapal penghantaran berbanding jadual asal.

"Oleh yang demikian, pihak Shell sedang mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini.

"Hasil daripada mesyuarat juga mendapati stesen minyak jenama lain tidak mengalami sebarang masalah dan minyak masih boleh diperoleh dengan mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan melibatkan stesen minyak yang menghadapi masalah bekalan RON95, manakala lima stesen lagi terjejas dari segi bekalan diesel, dengan kesemuanya melibatkan stesen minyak jenama Shell.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa stesen minyak di Pulau Pinang didakwa mengalami masalah bekalan bahan api, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542621