Daripada Ahmad Aidil Syukri Hamzah
KAHERAH, 9 April (Bernama) -- Keutamaan Malaysia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza tidak terpinggir dan akan diteruskan biarpun konflik, pergolakan geopolitik dan ketegangan kuasa turut memuncak di kawasan lain di rantau di Asia Barat.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Alim Araby berkata Malaysia nekad meneruskan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza di sebalik pelbagai cabaran dihadapi bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat Palestin yang kian terhimpit.
Beliau mengakui ketidaktentuan ekonomi dunia, termasuk ketidakstabilan mata wang berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta krisis di Selat Hormuz, menjadi antara cabaran besar yang melonjakkan kos perolehan bantuan bagi misi tersebut.
“Untuk pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan dan berkhidmat untuk Gaza ini, kita terkesan langsung apabila kenaikan (kos) berlaku. Pertamanya adalah nilai mata wang yang tidak stabil apabila kita beli semuanya dalam USD, tidak dalam Ringgit. Jadi itu memberi kesan sangat besar kepada pihak NGO," katanya.
Sani Araby berkata demikian kepada media selepas meninjau persiapan akhir misi berkenaan di gudang MAPIM-Al Khair di sini.
Sani Araby berkata biarpun ketika ini wujud kebimbangan mengenai fasa perang yang lebih besar di peringkat serantau, keadaan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat delegasi Malaysia untuk terus menembusi kepungan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Misi kali ini membawa muatan 374 tan barangan keperluan yang disasarkan untuk manfaat 100,000 penduduk di Gaza.
Sani Araby berkata walaupun 30 kontena tersebut hanya mewakili peratusan kecil daripada keperluan keseluruhan 2.2 juta penduduk Gaza, usaha itu adalah mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan membiarkan hak kemanusiaan asas di wilayah itu dinafikan.
“Sudah sampai masanya saat dunia sedang memasuki tingkat perang, kita patut kuatkan kesatuan negara dengan kita melihat elemen-elemen yang boleh menyebabkan kita berasa bahawa kita mampu berbuat sesuatu, yang membolehkan Palestin merdeka,” katanya.
Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza 2026 anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Misi berkenaan turut disertai media Malaysia termasuk wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
-- BERNAMA