PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun dan seorang pengerusi syarikat pegangan ditahan kerana disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat, berhubung penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2022 hingga 2023.
“Urus niaga penjualan saham tersebut dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah dan tidak setimpal hingga menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta,” menurut sumber.
Sumber memaklumkan, siasatan dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM termasuk penggeledahan di 13 lokasi utama merangkumi agensi dan syarikat berkepentingan awam, premis pejabat dan kediaman individu yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.
Selain tangkapan, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang berkaitan telah dibekukan melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.
Kedua-dua individu itu direman empat hari hingga 12 April selepas Majistret Azeren Zakariah membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Kes berkenaan turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.
-- BERNAMA