GAYA HIDUP

Malik Streams Gesa Masyarakat Tolak Cetak Rompak Susulan Kebocoran Babak ‘Jana Nayagan’

10/04/2026 05:54 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, April 10 (Bernama) -- Pengedar filem Malik Streams menggesa orang ramai menolak cetak rompak susulan laporan kebocoran babak filem Jana Nayagan yang dipercayai karya terakhir Vijay, pelakon terkenal India Selatan, sebelum beliau memberi tumpuan kepada politik.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di media sosial mereka, syarikat itu menegaskan klip babak yang bocor tersebut adalah satu bentuk cetak rompak dan tidak wajar ditonton atau dikongsi kerana menjejaskan industri serta usaha ratusan tenaga kerja di sebalik tabir.

“Kita mesti menyokong artis, juruteknik, penerbit serta pengedar filem yang bergantung pada kejayaan sesebuah filem sebagai sumber pendapatan mereka,” demikian menurut kenyataan itu.

Kebocoran melibatkan kredit pembukaan dan babak pengenalan watak Vijay dilaporkan tersebar luas di media sosial, namun hingga kini penerbitnya KVN Productions belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

Vijay sebelum ini berada di Malaysia bagi pelancaran audio filem itu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menghimpunkan kira-kira 85,000 peminat dan tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai antara yang terbesar.

Pelakon serba boleh itu telah menubuhkan parti politik Tamilaga Vettri Kazhagam dan dijangka bertanding dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu yang akan datang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543442