Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 9 April (Bernama) -- Presiden Myanmar yang baru dipilih, Min Aung Hlaing perlu segera memulihkan kestabilan dalaman dan menggiatkan semula penglibatan dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) atau masa depan politik negara itu berisiko terus suram, menurut pakar.
Bekas pemimpin tentera itu berdepan pelbagai cabaran untuk menetapkan semula hala tuju politik Myanmar dan meredakan ketidakpuasan hati lebih 135 kumpulan etnik yang dibebani dengan rungutan sejarah sejak 1948.
Min Aung Hlaing, yang dipilih pada 3 April lepas perlu memulihkan ekonomi yang lemah, meningkatkan keselamatan tenaga dan makanan, membendung inflasi, menyelesaikan krisis etnik yang berlarutan serta mewujudkan kestabilan politik.
Paling utama, beliau perlu menggiatkan semula penglibatan dengan ASEAN yang semakin menjauh daripada Myanmar.
“Menstabilkan keadaan politik dan keselamatan dalaman, mungkin melalui tawaran dialog nasional, memperbaiki keadaan ekonomi serta memperluas pilihan dasar luar mungkin antara matlamat beliau,” kata bekas Duta Besar India ke Myanmar Rajiv Bhatia kepada Bernama.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan ekonomi sebanyak tiga peratus tahun ini, berbanding kadar inflasi 28 peratus.
Kenaikan harga akibat kekurangan bekalan sejak tercetusnya konflik ketenteraan di Asia Barat pada akhir Februari turut menambah tekanan terhadap ekonomi negara itu yang bergantung kepada eksport utama - beras, pakaian dan produk pertanian.
Menurut Kementerian Tenaga Myanmar, kerajaan mengimport lima juta tan bahan api setiap tahun dengan kos melebihi US$5 bilion. Sekurang-kurangnya 97 peratus petrol dan diesel yang digunakan dalam sektor pengangkutan adalah diimport.
Kesukaran yang dihadapi Myanmar amat ketara. Negara yang kaya dengan sumber asli dan mempunyai kira-kira 55 juta penduduk itu masih belum pulih daripada siri bencana alam yang mengakibatkan kemusnahan.
Siklon Mocha pada Mei 2023, Taufan Yagi pada September 2024 serta gempa bumi bermagnitud 7.7 di Mandalay pada Mac tahun lepas menggegarkan negara Asia Tenggara itu.
Lebih tiga juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal memerlukan bantuan kemanusiaan segera, menurut beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Yangon.
Selain itu, konflik dalaman berpanjangan antara tentera kerajaan dan kumpulan etnik bersenjata di beberapa bahagian Myanmar yang menuntut identiti serta autonomi lebih besar kekal sebagai isu yang rumit.
Penyelesaian segera amat penting untuk menamatkan konflik bersenjata berpanjangan berasaskan etnik yang mengancam keselamatan dalaman serta menyemarakkan penyeludupan senjata dan narkotik ke pusat penipuan dalam talian.
Rampasan kuasa pada 2021, ketika Min Aung Hlaing menjadi panglima angkatan tentera telah memburukkan lagi kemelut politik di Myanmar.
“Isu kritikal ialah sama ada beliau akan meneruskan pendirian keras seperti sebelum ini atau menunjukkan pendekatan lebih sederhana sebagai pemimpin awam.
“Jika beliau menawarkan perdamaian, sekurang-kurangnya sebahagian elemen penentangan mungkin memberi reaksi positif.
“Dan Parlimen boleh digunakan untuk membina asas ke arah itu. Jika tidak, kebuntuan politik dan seterusnya pertempuran bersenjata dijangka berterusan,” kata Rajiv, yang juga Felow Terbilang di Gateway House, sebuah kumpulan pemikir dasar luar berpangkalan di Mumbai.
Ketika dunia menyaksikan transformasi geopolitik dan orde global yang dicabar oleh konflik di Iran, Palestin dan Ukraine, Min Aung Hlaing perlu menghubungkan semula Myanmar dengan ASEAN bagi memperkukuh keselamatan serantau.
Dr Rahul Mishra, Felow Penyelidik Kanan di Pusat Kecemerlangan Jerman-Asia Tenggara bagi Dasar Awam dan Tadbir Urus Baik Universiti Thammasat di Bangkok berkata usaha menormalkan hubungan itu mungkin sukar.
Keabsahan kerajaan baharu itu dipersoalkan oleh masyarakat antarabangsa yang tidak mengiktiraf pilihan raya yang baru selesai diadakan.
“Bagi ASEAN, pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, melindungi hak sivil dan asasi manusia rakyat Myanmar serta mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil merupakan syarat utama untuk memasukkan semula Myanmar ke dalam komuniti ASEAN.
“Sejak 2021, anggota ASEAN sangat jelas mengenai perkara ini, khususnya kerana kerajaan tentera tidak menunjukkan sebarang niat mahupun mengambil langkah untuk menunaikan janjinya,” kata Mishra kepada Bernama.
Dari segi perdagangan, ASEAN adalah rakan dagang serantau terbesar Myanmar, menyumbang sekitar 33 hingga 45 peratus daripada eksport dan import negara itu, dengan jumlah dagangan melebihi US$10 bilion setiap tahun, kata Mishra.
Satu lagi cabaran yang dihadapi Min Aung Hlaing ialah penahanan berterusan ahli politik veteran Myanmar Aung San Suu Kyi yang ditahan tentera selama hampir lima tahun sejak rampasan kuasa itu.
Beliau juga perlu menangani kes genosid melibatkan komuniti minoriti Islam Rohingya yang sedang berjalan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda, bagi memulihkan imej antarabangsa Myanmar.
-- BERNAMA